Prof. Emeritus Tan Sri Ahmad Ibrahim (Bahagian 1)

Assalamualaikum wmt wbt,

Bismillah,  Alhamdulillah.

Prof. Emeritus Tan Sri Ahmad Ibrahim

Prof. Emeritus Tan Sri Ahmad Ibrahim

Tan Sri Ahmad Ibrahim merupakan contoh terbaik seorang individu yang menggunakan sepenuh ilmunya untuk penambahbaikan kehidupan umat Islam. Beliau yang berasal daripada keluarga yang kuat mengamalkan cara hidup Islam telah lahir di Singapura.  Ayahnya adalah seorang pengamal perubatan yang aktif dalam aktiviti-aktiviti sosial dan kebajikan Islam. Beliau memulakan kerjayanya sebagai seorang pensyarah di Singapura dan Universiti Cambridge

Beliau pernah menjawat pelbagai jawatan yang berkaitan dengan undang-undang di Singapura seperti majistret, Hakim Daerah, Pensyarah Undang-undang, Peguambela dan peguamcara, Ahli Majlis Perundangan, Peguam Negara, Duta ke UAE dan perunding utama dalam aspek undang-undang sewaktu Tanah Melayu dan Singapura hendak disatukan dalam Malaysia.

Allahyarham telah dilantik sebagai Profesor Pengajian Undang-undang di Fakulti Ekonomi dan Pentadbiran Universiti Malaya dari tahun 1969 hingga 1972, Dekan Fakulti Undang-undang Universiti Malaya dari tahun 1972 hingga 1983, Profesor Emeritus Universiti Malaya pada tahun 1984 dan jawatan terakhirnyaadalah sebagai Shaikh dan Dekan Kulliyyah Undang-undang, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) dari tahun 1983 hingga 1999.

Beliau merupakan pengasas kepada penubuhan 2 buah Sekolah Undang-undang terkemuka iaitu Fakulti Undang-undang, Universiti Malaya dan Kulliyyah Undang-undang, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia. Minat beliau amat mendalam dalam pengajian perbandingan antara undang-undang sivil dan undang-undang syariah.  Minat dan cita-cita bagi mewujudkan pengajian dalam perbandingan antara 2 undang-undang ini tercapai melalui UIAM. Di UIAM. Allahyarham berpeluang luas untuk menggubal dan melaksanakan sebuah sistem pembelajaran yang berinteraksi antara undang-undang sivil dan syariah di Kulliyyah Undang-undang.  Hasil perjuangan beliau, sistem perundangan syariah telah diterima dan diiktiraf sebagai berperanan penting dalam sistem perundangan Malaysia.  Beliau juga cuba untuk menerapkan prinsip-prinsip dan nilai-nilai  syariah dalam sistem undang-undang sivil Malaysia melalui pendekatan perbandingan.

Allahyarhamlah orang yang bertanggungjawab memperkenalkan pelbagai pembaharuan di dalam sistem undang-undang sivil dan syariah di Malaysia dan Singapura. Jasa beliau yang paling besar dalam mengangkat dan menaiktaraf undang-undang syariah adalah penggubalan Artikel 121 Perlembagaan Persekutuan dengan memasukkan Fasal (1A). Fasal (1A) Perkara 121 Perlembagaan Persekutuan memperuntukkan bahawa Mahkamah Sivil tidak mempunyai bidang kuasa mendengar apa-apa perkara yang berada dalam bidang kuasa Mahkamah Syariah. Melalui Fasal (1A) ini, bidang kuasa kedua-dua mahkamah itu, telah ditetapkan dengan jelas oleh Perlembagaan Persekutuan.Ini bermakna, Mahkamah Sivil mempunyai bidang kuasa untuk mendengar dan membicarakan kes-kes yang melibatkan perkara-perkara yang dinyatakan dalam Senarai 1, Jadual Kesembilan sementara Mahkamah Syariah pula adalah untuk mendengar dan membicarakan kes-kes melibatkan perkara yang dinyatakan dalam Butiran 1, Senarai II Jadual Kesembilan Perlembagaan Persekutuan.

Tan Sri Ahmad Ibrahim juga berusaha untuk menjadikan aplikasi undang-undang Islam lebih mudah.  Beliau pernah terlibat dengan pelbagai jawatankuasa yang ditubuhkan oleh Kerajaan Malaysia dan kerajaan-kerajaan  negeri bagi mengubah dan menaiktaraf organisasi Mahkamah Syariah dan melakukan penambahbaikan kepada undang-undang syariah yang diperkenalkan semasa era penjajahan British.

Tan Sri Ahmad Ibrahim adalah seorang Muslim yang benar-benar mengikuti jejak para ulama Islam silam dari segi kepintaran dalam membahagikan masa. Beliau amat jarang berbual kosong dalam sesuatu mesyuarat tetapi hanya membincangkan hal-hal yang penting dan berkaitan sahaja. Beliau juga jarang membatalkan kuliahnya semata-mata untuk menghadiri mesyuarat kerana beliau amat berminat mengajar. Kejayaan beliau dalam hidup kerana kepatuhannya terhadap amalan Islam. Tan Sri Ahmad Ibrahim adalah seorang yang merendah diri, penyayang dan penyabar apabila berurusan dengan rakan sekerja dan para pelajarnya.  Beliau sentiasa berwuduk, yang menurutnya dapat menghindarinya daripada penyakit.  Beliau menganggap kerja yang dilakukannya adalah ibadah, sesuai dengan tuntutan Islam. Semua tanggungjawab yang dipikulkan ke bahunya dianggap sebagai amanah.

Sebelum beliau meninggal dunia, Tan Sri Ahmad Ibrahim sempat meninggalkan sebuah lagi khazanah ilmu buat umat Islam. Beliau berjaya menyiapkan bukunya yang terakhir berjudul ‘Undang-undang Keluarga Islam di Malaysia’  beberapa hari sebelum meninggal dunia.

BERSAMBUNG

Bahagian kedua akan menyorot mengenai kejayaan-kejayaan beliau, sebab-sebab beliau berusaha bersungguh-sungguh memperkenalkan Perkara 121(1A), gelaran terhadap beliau yang diberi oleh para sarjana undang-undang dan peranan beliau dalam peristiwa Natrah pada tahun 1950.

SUMBER RUJUKAN:

Laman Web Universiti Islam Antarabangsa Malaysia di http://www.iium.edu.my

Laman Web Institut Kefahaman Islam Malaysia di http://www.ikim.gov.my/ahmadibrahim/index

Fatini Yaacob,  Perbicaraan kedua memisahkan Natrah, di http://www.mesra.net/forum/index.php

Advertisements
Published in: on Oktober 5, 2009 at 5:04 am  Tinggalkan Komen  

The URI to TrackBack this entry is: https://abusaifuddin.wordpress.com/2009/10/05/prof-emeritus-tan-sri-ahmad-ibrahim-bahagian-1/trackback/

RSS feed for comments on this post.

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s

%d bloggers like this: